Jeda: Impian
Zainuddin mengingatkan aku di hujung ceritanya yang jangan takut bermimpi. Bang Muluk mengingatkan kita bahawa perasaan tidak harus membuatkan kita lemah dan takut bermimpi - jua tentang seorang teman. Aku jadi takut bermimpi dengan sebegitu banyak 'tidak', kerlingan dan kata-kata yang semungkinnya tidak wujud pun. Wujud di luar rumah fikiran yang tidak seharusnya dijemput ke dalam terlalu lama dalam ruang tamu kita.
![]() |
| Hús í nōrorí, Tolli (2014) |
Kalau ikut kepingin, aku hendak mencipta sesuatu yang indah. Sesuatu yang apabila orang melihatnya orang menjadi bahagia kerana cantiknya. Cantik yang ringkas atau mungkin yang melengkapkan.
Melukis mungkin tidak, terlalu lama, tetapi di atas skrin digital lalu dicetak: itu menarik. Atau mungkin agak utilitarian (sewaan untuk acara) tetapi daripada situ kita memperindah.
Aku mungkin sudah mula memikirkan idea bagaimana jika aku berhenti seketika kerja freelance begini dan berstabilan sebentar. Dengan duit itu, ku cipta ruang mengisi kepingin itu. Lalu bisa menjadi manusia yang tidak begitu rasional dan membiarkan diri mampu merasa.
Rasa itu tidak dapat dibeli - makanan yang cantik dan enak, namun tanpa rasa kepingin dan jiwa, ia sekadar melalui rongga.
Mungkin sama macam serangga sahaja nanti. Bertebaran.
Bahasa pun menjadi tidak elok.
Jiwa pun sudah mati.
Mekanikal cuma.
Mungkin untuk sehari dua ini, aku perlu melalukan sahaja apa desah di perasaan ini biar ombak kecilnya menggulung sebelum ia mendesah hebat lalu menolak. Sudah berapa kali aku asyik menepis dan mematikan ombak kecil itu - kataku, "Ini cuma melambatkan", rasional. Namun ombak nan besar itu tanpanya tidak dapat ditampung sang peluncur.
Jadilah aku cuma penonton di gigi air dengan ruang tamu sudah didiami entah siapa membawa 'tidak' di sofa-sofaku. Kakiku basah tetapi masih takut-takut.
Atau ya, mungkin jua boleh aku majukan ideaku menulis cereka dengan kanak-kanak. (Sebegitulah aku, suka melompat-lompat).
Shafira,
Di telinga:
Okuribito (Joe Hisaishi),

Comments
Post a Comment