Gombal Einstein

Menarik sekali menjumpai cebisan-cebisan dirimu dalam diri manusia lain. Aku belek Ideas and Opinion yang merangkum tulisan Einstein dan tertarik mengetahui pandangannya berkenaan hidup manusia:
"The man who regards his own life and that of his fellow creatures as meaningless is not merely unhappy but hardly fit for life." (Ideas and Opinion, muka 12)
Kau rasa kelakar (dan bahagia juga) bahawa dunia sungguh luas, sekurangnya saujana akalmu sebegitu. Menemui hal-hal sebegini, tidaklah membuktikan benarnya Islam atau adilnya Tuhan (kerana aku membacanya bukan untuk mencari pembuktian), tetapi ia membuatku semakin kenal Tuhan; kata Nabi, kebijaksanaan adalah barang tercicir, bukan? Mungkin, aku rasa bahagia sebab daripada jasad-jasad yang beratus tahun reput dalam kayu keranda yang sudah mumuk dalam butala, tulisannya immortal dan berbalas bicara dengan akalku.

Einstein seperti dalam petikan kata-katanya yang popular, memang kutahu menghargai seni tetapi membacanya lagi hari ini dalam tulisannya yang lain, membuatku tersenyum. Aku baru terfikir dua tiga hari lepas bahawa apa guna manusia melihat lukisan berseni -  menghilangkan laparkah? Einstein, pada 1934, ada mencoret bahawa manusia yang paling disayangi dan paling bermanfaat ialah:

"... yang memberi manusia lain kerja yang membangunkan, justeru, secara tak langsung membangunkan diri mereka. Ini terpakai secara banyaknya kepada kerja-kerja artis-artis agung dan juga, pada darjah yang di bawahnya, para saintis." (ibid)
Perhatikan ia sebut artis dahulu sebelum saintis - menarik! Kota-kota agung Renaissance dan Chapel tiba-tiba masuk dalam khayal. Aku belum pernah merasai terus pengalamannya (sehinggakan aku berharap kalau aku mati awal, ada lah syurga seumpama itu di sana), namun, melihat secara maya pun ada kesan pada jiwaku. Damai, barangkali?

Sebelum tutup mata, aku fikir, perenggan tadi mahu kusambung kongsikan:
"To be sure, it is not the fruits of scientific research that elevate a man and enrich his nature, but the urge to understand, the intellectual work, creative or receptive. It would surely be absurd to judge the value of the Talmud, for instance, by its intellectual fruits." (ibid)
Malamku terasa menenangkan, meski sebetulnya aku rasa mataku makin sepet menahan kantuk. 

Sebelum hujung: Azamku usai Ramadhan berlimpas, untuk memperoleh mata seorang Majnun. Agak kau, sukar bukan tapi mana mustahil?


Sijangkang. 
09 Syawal 1436

Comments

Popular Posts