Dan kata-kata itu disebutkan jua

"Kalaulah yang punya kesedaran
itu
Adalah anak laki-laki,
Ah, harusnya anak lelaki!
Pasti, bukannya kau,
Seorang anak perempuan,
Yang harus menanggungnya
Hari ini."

Dan kata-kata itu terkeluar juga, akhirnya, lalu sampai juga di cuping untuk masuk ke gegendang dan berlimpas ke dalam daerah fikiran. Awalnya, ia langsung tak menyucuk seinci, namun, sedang masyghul esoknya, air mata tertitik jua. Zip yang mahu ditarik terhenti jua, badan seolah berharap dapat longlai selonglai-longlainya.

Namun, seperti selalu, air mata tak pernah jatuh untuk dilihatnya - aneh sekali, semakin sayang kita kepada seseorang, semakin banyak rahsia kita simpan daripadanya. Akhirnya, kata-kata itu terulang lagi setelah dua tahun disimpan kejap dalam ingatan peribadi. Akhirnya, satu-satu hal yang cuba dikuatkan daripada dua tahun lalu itu (mungkin, sudah masuk tahun ketiga) dimunculkan semula.

Apakah salah aku sebagai seorang perempuan yang berkesedaran? Adakah disebabkan sebegitu banyaknya kes rogol di tanah air ini, maka seorang perempuan harus berhenti keluar petang pulang malam untuk cuba mencerdikkan diri? Haruskan jua disalahkan tiada berteman kalau sebetulnya bukan setahun dua aku mencari teman perempuan untuk aku ulik ke sana sini?

Adakah salah orang yang berkesedaran dan mendapat kesedaran? 

Tuhan!

Lalu, tiba-tiba mampir lagi kata-kata seorang kawan yang lain:

"Inilah perempuan; selalu cari lelaki. Perempuan kena kuat."

Aku berharap dia dengar kalimatnya ini dan tariklah semula. Kau didatangkan Tuhan sewaktu aku sebegitu perlu sokongan dan ini pula jawapanmu; sedang aku sedia selalu berbahagia atas kesudianmu bercerita hal jerihmu, mengapa tidak kau memandangku sebanding? Adakah kerana aku seorang perempuan; perempuan yang memang terkenal selalu memberi ruang kepada orang?

Adakah kerana keperempuanannya? Kau justeru selalu nampak hal-hal ketanahan, bukan?

Hari ini, aku membangun jawapan untuk lontaran kau itu, kawan: tidakkah kuat kala mata merah dan jiwa sungguh rencam, kau nampak aku tidak terpuruk menunggu orang? Tidakkah kuat dengan menyatakan masalah lalu dicuba juga upaya meneruskan, meski kata orang, emosi perempuan sungguh berombak? Aku belajar tenggelam dalam ombak itu, kawan, lalu dengannya kukenal Mutanabbi:

"He who seeks pearl, must immerse in the sea"

Sekian dan akanlah selalu Allah membuka jalan.

Comments

Popular Posts