Selepas sepeda kauajar

Kalau bangun Subuh, gerak langkah Abah yang paling kuat menolakku menegakkan tulang belakang dan pura-pura kulipat selimut, seolah sudah lama terjaga sebelum Abah jenguk.

Selak langsir dan tersenggul muka Abah. "Sudah bangun? Subuh, Subuh", kata Abah. Apabila Abah mula berjalan pergi, sama ada aku tiba-tiba jadi baik dan segera ambil wuduk di sinki atau aku kembali menonggeng, berharap ada sisa tidur yang butir halusnya jatuh menyentuh mata semula untuk terlelap barang seminit (selalunya, sampai setengah jam!)

Kadang-kala, aku hilang semangat untuk tidur (sebab Abah atau adikku hidupkan lampu bilik) dan mula berjalan keluar dan melalui ruang tamu. Jam nyata baru pukul 5.30 pagi (dan ada lima belas minit sebelum Subuh!)

Abahku tak perlu risaukan aku lagi sebesarku kini - cuma aku fikir, di mata seorang Abah dan Mama, usia kami macam kekal kecil. Apabila suatu hari yang lepas seorang kawanku bilang bahawa dia ingin merasa menjadi kuli-kuli, aku sebetulnya teringatkan Abah - Abah bawa lori dan ada bengkel di belakang rumah kami.

Abah sebetulnya bebas (bukannya kuli-kuli) sebab bekerja sendiri, namun melihat Abah kerja potong besi dan bawa lori, apabila aku baca tulisan manusia-manusia tentang kapitalisme, aku selalu teringatkan Abah yang menjadi pekerja buruh sebegitu dan anak-anak buahnya di bengkel. Sijangkang dan Shah Alam selalu membuatku terasa ada dua alam berbeza dalam hidup (semacam ada suis untuk bertukar alih). Kadang, aku terasa payah untuk menyesuaikan seleraku yang lebih sistematik (Makku bilang aku kebandaran) dengan hal yang realistik dengan rencam masalah di kampung. Namun, Abahlah seolah kolam tenang untukku berenang selepas kemasinan dalam lautan di kota-kota.

"Kilang kat tepi tu berbahaya sebenarnya," ujar Abah, satu hari dalam Syawal kali ini, sambil tangannya yang tidak memegang stereng kereta menunjuk ke kiri kami, "ada satu corong karbon yang hubungkan dua loji tu, lepaskan bahan berbahaya."

"Karbon boleh berbahayakah?" Aku yang memang tak minat kimia, bertanya.

"Pelepasan debu-debu kecil tu masuk dalam paru-paru, mana tak bahaya. Silinder karbon tu hari-hari bergulir" (pastilah 'bergulir' itu perkataanku) "dan debu-debunya terbang, boleh masuk dalam pernafasan."

"Macam kerja seramik?"

"Ini lagi bahaya."

Entah macam mana, Abah sampai menerangkanku tentang kes LYNAS dan aku yang memang tak faham tentang LYNAS (selain demonstrasinya), akhirnya berjaya terapungkan diri daripada tenggelam tak tahu. Aku suka bercakap dengan Abah, meski selalunya Emak dan adik-adik yang lain tidak turut sama sewaktu kami bercakap-cakap. Abah tahu idealnya aku (dan Abah buat aku tak fikirkan kahwin sangat - aku mahu membangun jadi manusia yang baik dan dikeranakan itu nanti, baru ku menikah, Abah). 




Ini hanya dalam sebuah ingatan; ingatan yang masih panas.

Comments

Popular Posts