Fokus 1440 Hijrah
There is no companion but love.
No starting, or finishing, yet, a road.
The Friend calls from there:
Why do you hesitate when lives are in danger!
I pretended to leap
to see if I could live there.
Someday I must actually arrive there,
or nothing will be left to arrive.
(Jalaluddin ar-Rumi,
trans. by Moyne and Barks,
Unseen Rain: Quatrains of Rumi)
Kita hanya boleh menjadi diri kita sahaja - itu sahaja peluang yang kita punya. Meski manusia Timur dan Barat cuba bereksperimen untuk mengkaji hipotesis untuk kita memindah otak (justeru mungkin bisa memindah diri), cereka sains ini semua tidak boleh melunturkan suatu realiti yang kita tidak boleh memindahkan ruh kita, meski begitu ramai yang menafikan soal ruh.
Justeru, tinggallah kita dengan diri kita - di hujung nanti, akan diadili, dihitung Tuhan - tetapi sebelumnya, kita perlu memenuhi diri.
Mungkin itu soal yang aku sukar sekali mahu depani sejak dulu; sejak aku hilang fokus tentang siapa aku ingin menjadi. Aku jadi takut untuk jatuh semula selepas semua zaman kegemilangan, barangkali. Aku jadi selesa dan takut-takut untuk sekadar mencuba.
Sampailah kak Fauziana tiba-tiba entah daripada mana, bilang "Suatu hari nanti, mana tahu, Fira sudah ada empayar sendiri."
Sampailah suatu waktu, Fatimah bilang dia sedia jump untuk gerakkan minatnya dalam kafe.
Sampailah satu waktu, aku temui keluarga yang berkongsi itu ini dalam JomLaunch.
RANCANGAN PASCA TAHUN BARU HIJRAH
1. BLAJO
Aku merancang untuk ke PERINTIS MSU untuk membentang idea Blajo ku - daripada 12 muka prototaip, hari ini aku sudah siap 3. Aku biarkan sahaja draf itu lekeh, untuk sekarang. Kalau mahu sempurna, MVP (minimum viable prototype) itu takkan siap.
Aku akan siapkan 5 kemeja T untuk dipakai 3 daripada kami nanti dan 2 untuk digantung di booth. Aku sudah nampak bagaimana daripada jam 9.30 pagi hingga 5 petang itu: 10 pagi, para hakim akan mula melilau melawat dan mengadili idea-idea pempamer. Kemudian, aku dan tim akan melayan orang pula untuk memperkenal idea ini.
Justeru, count down ke hari acara, aku akan siapkan lagi 9 muka draf prototaip, siapkan karakter dan kemudian, kalau cukup bajet (atau aku cari bajetnya), untuk upah tukang program untuk kodkan prototaip itu. Sebelum 15 Oktober, aku akan cuba dapatkan 10 pengguna untuk dapatkan maklum balas.
Ini semua doable.
Visi aku satu sahaja: aku nak jadi suara dalam dunia tech tentang pendidikan. Aku nak jadi pesaing Duolingo dengan cuba inovasikan model Duolingo untuk konteks Bahasa Melayu, setakat ini.
Aku nak guna semua tools of titan ni untuk majukan gagasan idea yang lebih besar - itu sudah dilakukan semua pemikir dahulukala. Al-Ghazali tetap juga baca karya falsafah itu sebelum memurnikannya; al-Biruni tetap mengembara ke seluruh dunia (cuba fikir, macam mana dia boleh berani network kalau penyegan tak bertempat macam aku), Ibn Firnas yang gila-gila memprototaip idea manusia terbang.
2. KAJIAN FALSAFAH TEKNOLOGI
Hasrat aku sejak awal untuk berkalih bidang seketika memang untuk ini. Aku mahu merasa dan berinteraksi dengan orang dalam industri sendiri untuk memahami secara terus tentang Revolusi Industri ini. Aku tahu cabarannya ada - aku bermula dengan agak pesimis (meski tak sampai jadi Luddite) terhadap teknologi: aku bermula paling awal dengan Neil Postman (Technopoly), kemudian kenal pula Heidegger, Dreyfus, dan kemudiannya, aku tahu 'techne' memang impose cabaran terus untuk kewujudan kita sebagai manusia.
Tapi, ke guakah kita seharusnya? Aku duk lekatkan kata-kata Prof. Syed Naquib dalam kepala tentang teknologi, yang teknologi umpama pisau; pertanggungjawabannya bukan pada pisau tetapi pengguna - kita berbicara tentang manusia yang ada akal dan justeru boleh memilih.
Namun, soal teknologi-pisau ini tidak berhenti setakat ini (nampak macam relatif - suka hatilah, teknologi maksudnya neutral). Tidak, ia tidak semudah itu - kalau baca sejarah macam mana percetakan Gutenberg mengubah lanskap Bible sebagai sebuah kitab, kita akan tahu macam mana teknologi tidak neutral polos lolos begitu sahaja.
Teknologi ada sifat-sifatnya. Setiap sifatnya, semacam kita yang ada tangan, kaki sebagai anggota, teknologi juga datang dengan anggota yang sifatnya adalah unik dan tersendiri. Apa yang ada pada sebuah komputer yang membezakannya dnegan teknologi percetakan? Soalan ini yang kita kena perhatikan.
Teknologi dengan sifat-sifatnya membenarkan kita untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu, justeru teknologi tidak polos nilai begitu sahaja. Apa lagi dalam zaman segala sesuatu ada penciptanya dan berisi agendanya - misalnya, teknologi telegraf awalnya bermula untuk tujuan ketenteraan dan peperangan, kemajuannya membantu sesuatu negara, misalnya, Amerika Syarikat, mengalahkan Jerman kerana mereka boleh baca mesej tentera mereka melalui Enigma - kerana apa?
Kerana Enigma mempunyai sifat tertentu yang membenarkan tindakan tertentu berlaku ke atasnya, dan justeru, manusia yang datang kepadanya untuk menjayakan nilainya.
(Okay, macam gila sekejap. Aku berhenti di sini dahulu, tetapi, ya, itu sedikit sebanyak idea tentang apa aku minat hendak kaji)
Kajian formal tentang teknologi ini mungkin aku akan mulakan hanya apabila projek startup aku dah agak stabil (boleh bergerak tanpa aku 24 jam dengannya).
3. PROJEK KAHWIN
Aku rasa, dunia ini beroperasi dengan apa yang kita cuba dekati juga. Aku berhasrat untuk menyatakan ini di ruang awam agar ada yang mendoakan.
Pada aku, kahwin adalah hal praktikal dan misteri - dua manusia berkongsi kehidupan. Aku percaya hadith Nabi, "Ruh-ruh yang sama jenisnya akan berkumpul bersama." Aku berharap sebelum berkumpul di Mahsyar bersama-sama, aku dapat peluang berbahagi kehidupan di dunia ini.
Aku memang gila dengan idea - pada aku, lelaki itu menarik hanya apabila akalnya pun menarik dan dia mempunyai visi dan pengalaman yang lebih luas daripada aku. Aku akan menyokong visinya sambil aku menggerakkan visi aku. Aku memang berminat dengan startup, jadi aku akan buat startup aku sendiri mesra wanita dan ibu-ibu serta kanak-kanak. Aku hidup dengan buku (untuk hilang stres, aku baca buku) dan lelaki yang menarik ialah yang mempunyai daya berbual yang bermacam-macam. Aku rasa dia sendiri mesti rasa hidupnya sangat menarik sampai dia tidak peduli kewujudan aku (sebab aku sendiri macam itu).
Aku percaya hidup ini tidak menarik dengan sekadar menjadi biasa-biasa. Jatuh bangun, kita semua akan rasa, tetapi apa yang akan kita bina untuk tidak begitu peduli kejatuhan itu semua?
Kalau aku tidak lagi ketemu lelaki ini, aku berharap kalian doakan aku untuk jumpa tim yang kuat untuk Blajo dan startup semuanya. Amin!
4. SOKONGAN SAMPINGAN
Disebabkan beberapa benda besar yang aku ingin bina inshaAllah, aku fikir sampai masa untuk aku:
- perlahankan sedikit kerja-kerja tuisyen aku melainkan untuk klien sekarang dan untuk subjek SPM
- terus menulis dan bina jaringan yang berpadanan
- tidak takut berkongsi dengan orang
- tahu ambil cuti dan bertegas dengannya (cuti penting untuk kelestarian jiwa juga)
Semoga Allah kuatkan kita semua.
Pasca Lumut,
1 Oktober 2018.
Comments
Post a Comment