Air-air di dalam jag
Ada sebuah jag dan ada seorang manusia di tepi longkang. Jag itu jernih dan tembus cahaya untuk penglihatan telusur ke dalamnya. Air di dalamnya juga jernih dan tembus cahaya terbias merentasinya; justeru ada air cuma di dalam jag itu. Kalau jag itu mengandung sebuah harapan, air di dalamnya itu kian tipis menyusut. Ke dalam longkang, manusia yang berdiri di sisi longkang itu telah bangun sejak tadi untuk menuangkannya sedikit-dikit ke laluan air di bawah itu.
Kau sangat-sangat pasti, kalau air itulah harapan-harapan, maka telah bertemulah harapan-harapan itu dengan lumut hijau yang tidak disental-sental di dinding longkang.
Selamat tinggal, hai air-air yang telah terbuang.
"Dan harapan telah pun mula untuk musnah."
"Tangan kau sendiri yang menuangkannya!"
Kalau ada dua mata pada kedua-dua hati dan akal, dua itu sedang bertatapan - antara pilihan sebuah harapan atau keputusasaan.
Ke hujung jalan, sepanjang-panjang itulah longkang mengiringi. Mata sang manusia itu menuruni longkang sampai ke hujung jalan. Akalnya terpalu dengan sebuah idea tiba-tiba.
"Sempatkah aku mengejar air-air itu yang telah mula mengalir?"
"Jangan bertanya lagi! Kejar sahajalah!"
Dan jalan nan sebatang itu pun menerima deruan tapak kaki sang manusia itu di atas badannya, di sepanjang-panjang badannya yang disebelahi longkang, pada petang itu. Jag yang jernih yang airnya tinggal kian sedikit itu bakal menerima penambahan - iaitulah air-air yang tadi di dalamnya kembali, meski, selepas ini bersama hijau lumut-lumutnya.
Shah Alam yang kelabu.
27 April 2015.
Kau takkan dapat kebahagiaan
dengan kebahagiaan palsu
di sebalik tawa hilaimu
yang cuba melupakan nihilmu.
Comments
Post a Comment