Jeda 2
Allah memang pengganti terbaik - bahkan, tanpa diminta. Aku meminta untuk Dia merafak suatu hal yang aku memang tidak mahu kuasai lagi dan Dia bahkan memberi dua hal yang mencukupkan: minggu pertama di Universiti Malaya untuk internship di bawah Prof Hazim Shah, aku dikenalkan sudah dengan Marleena - dia belajar Jerman (dan baru pulang daripada ke trip dua minggunya ke Jerman)! Aku pun bertanyakan kepadanya tentang mein dan meine yang mengelirukan itu apabila nomen bertukar-tukar; dia pun perbetulkan sebutan der yang sepatutnya 'di-er'; aku lalu berjanji akan bertanya lagi kalau aku bingung nanti.
Hal kedua ialah tentang ziarahku ke rumah baru ustaz Zaidi di Seksyen 7 (yang memang untuk seketika membuat aku nostalgik kerana aku terpaksa melalui jalan-jalan rumah orang tertentu yang memang aku sangat ingati laluannya) dan aku diperkenal dengan nama Fatini Jaafar (yang kemudiannya aku temui tulisannya di Facebook) yang buat topik hampir denganku iaitu tentang pandang alam orang Asli tentang alam tabii. Aku balik tadi seusai ketemu ustaz memang hampir kaku - keselesaan apa Dia beri ini? Aku meminta Dia merafak sahaja apa cebis yang tertinggal tetapi diberi-Nya aku pelampung lebih untuk aku betul kuat.
Entah, tetapi aku memang telah tidak peduli aku kuat atau tidak: aku mahu jalan sahaja.
Untuk empat-lima bulan internship ini, aku akan mengkaji pemikiran Fleck dan serba sedikit tentang Zilsel - keduanya, tentang sosiologi sains. Fleck aku kenal sebelum aku temui Prof Hazim lagi di mana aku rasa, ideanya yang cuba mengesan bagaimana masyarakat membentuk idea saintifik itu sangat menarik. Aku selalu tertanya hal sebegitu: bagaimana satu hal menjadi dominan dalam masyarakat secara epistemologi dan sosiologinya? Fleck ini (nama penuhnya Ludwik Fleck dan dia orang Poland - aku sangat suka Jerman, Poland dan negara sebau-bau bacangnya) mula dikira sebagai predecessor untuk Thomas Kuhn, tetapi setakat ini, memang ada berbeza. Aku lagi senang membaca tulisan (terjemahan, tentunya) Fleck berbanding Kuhn sebab Fleck banyak tumpu kepada sains normal (yang mana Kuhn banyak cerita pula tentang revolusi sains) dan pada aku, Fleck menerangkan kepadaku keadaan dalam biologi - yang cenderung kurang revolusioner berbanding fizik (yang dibahas oleh Fleck).
Aku rasa ini pertama kali aku betul selesa dengan bidang yang aku minati dan aku nampak jangka jauhnya serta bagaimana bidang lain boleh aku manfaati (sejarah, politik, ekonomi dan sosiologi serta metafizik). Falsafah sains bukan sesuatu yang jauh - ia bercerita tentang alam dan badan manusia sendiri dan paling pasti, falsafah sains bukan tentang pengamal sains sahaja (meski ini penting untuk pembinaan komuniti saintifiknya) tetapi penerima pasifnya (Fleck dan Feyerabend, sekurangnya, bercerita tentang demokrasi sains).
Dan sejak minggu lalu, aku sudah tidak lagi rasa tidak betah apabila aku rasa marah dan kecewa. Aku rasa sihat begini. Untuk yang ada peperiksaan, selamat jaga diri dan ambil waktu untuk diri - berjeda-jeda!
Shah Alam.
Esok hari kedua kerja.
Hari ni 12 Ogos 2015.
Hari ni 12 Ogos 2015.

Comments
Post a Comment