Rantai-rantai

Aku kadang bayangkan (dan hampir berharap) supaya keyakinan itu umpama target dart. Kautuju tanganmu dan mengenalah mana-mana bahagian papan itu. Poin-poin yang lebih senang kautuju pasti boleh membuat kita lebih senang nak tangkap (tengok perkataan aku gunakan, 'tangkap'), tetapi hal-hal akli tak semudah itu, meski susunan premis-premis (seperti macam yang dipelajari dalam kelas Iqtisad) itu ada strukturnya.

"The association of white and black as a symbol for truth and falsity, respectively, is quite wrong, when it could be interpreted into which we called a 'gray' area is a combination or mixture of white (right) and black (false)." 

Aku perasan, aku ada kecenderungan untuk mematerialkan sesetengah perkara yang masuk dalam fikiranku, namun, aku perlu sedar limitasi kalau ya aku mahu guna material itu untuk cuba memahami. Kadang-kala, aku tak percaya ada kecenderungan-kecenderungan diri aku yang apabila diteroka dan didalami lagi, rupanya ada juga sebetulnya untuk diarahkan ke arah hal-hal saintifik. Sebelumnya, aku selalu (poyo) membayangkan diriku ini meminati undang-undang (yang lalu aku fikir terlalu renyah dengan kod-kod yang telah tetap pula dan melalui proses terlalu lama untuk menolaknya), falsafah tulen (yang kemudiannya, ada sahaja kutemui domain-domain di bawahnya untuk kunikmati ia dengan lebih selesa), dan sesetengah bidang lain, namun, tiga tahun ini melorongkanku untuk nampak kelompongan besar (kata Prof Wan Suhaimi, fardu kifayah) untuk diisi. 

Begitulah juga fikirku beberapa minggu lepas, bahawa sebuah jawapan "Tidak tahu" mengandungi asas-asas di bawahnya (yang membuatkan kemudiannya seseorang menyebut dia tidak tahu akan sesuatu). Orang bisa sahaja tidak tahu apa dia tidak tahu, tetapi kalau waktu ditanya sesuatu, dia menjawab "Tidak tahu", pasti dia bukan langsung tidak tahu. Lalu, apa yang dia tidak tahu itu? Adakah asumsi tertentu menyebabkan ia menjawab tidak tahu atau ya, seperti seorang temanku bilang, ada hal-hal dia memang tidak pakar, lalu ia (malas, barangkali, ini ayatku) fikirkan jauh-jauh?

Lalu apabila ada hal-hal absolut (hitam-putih) itu tidak disenangi, apakah pemahaman kita akan 'absolut' itu? Kemutlakan seperti apa - adakah seperti burung di dalam sangkarnya yang tak bisa keluar atau seperti air-air mengalir di sungai, bisa sahaja keluar daripada bibir sungai, namun mengalirlah ia selalunya dalam alirannya sendiri, atau seperti angin yang bertiup secara mutlaknya tidak di dalam mana-mana tetapi sentiasa boleh mengisi ruang? Seperti apa?

Seperti apa pemahaman absolut kita itu, yang lalu kita 'lari' daripadanya (seolah macam ia bakal mengaum dan menelan kita hidup-hidup) atau sekurangnya kita, ya, duduk jauh daripadanya sebentar sedangkan ada hal-hal lain yang kau angkat sebagai mutlak pula? Hal ini tidak memaknakan kita harus meruntuhkan semua sekali pula. 

Cuma, ya, ini buatkan aku teringat apa Prof Wan Suhaimi bilang dalam kelas: "Hal-hal akli ni, menariknya, berantai-rantai; kerana itulah perbahasan yang pernah dahulu disebut, muncul semula [dalam wajah lain, ini ayat aku] hari ini". 

Berantai-rantai.


Shah Alam.
14 hari lagi menuju 15 September.

Comments

Popular Posts