Cantik II
Didepangkan
jemari yang mengulum tadi lalu direntangkan sebuah ‘hamparan’ dengan terbukanya
jari-jemari tangan, merasakan angin-angin yang lepas bebas di atas tangan.
“Angin,
siapa sahaja pernah menyentuhnya. Lembut elusannya tetapi tidak pernah
bersentuhan. Kau, manusia, takkan memiliki angin. Angin ini kepunyaan semua,
terlebih lagi adalah milik Tuhan. Angin, tiupannya mendamaikan, petang tak
senang tanpa tiupan si angin. Ia halus, tetapi bisa menumbangkan.”
“Kalau
begitu, aku mahu menjadi seperti angin, Re. Wanita angin.”
“Cepat naik
angin... “
“Hey, tapi
cepat pula reda.”
Aku
tersenyum dengan bicara Aure. Berbahasa yang indah, bukan semata retorik,
meskipun retorik dan balaghah itu adalah sebahagian daripada bahasa. ‘Allamahul bayan. Aku suka sekali dengan
jawapan Prof al-Attas pasal ‘al-bayan’
(penerangan) sebab selepas beliau cakap pasal al-bayan ni lah, aku sedar bahawa
bahasa yang aku sebut ni, bukan indah sebab aku bermain dengan majaz sahaja
(ya, ya, aku suka main metafora) tetapi aku berpandangan, keindahannya adalah
sebab bahasa itu sendiri cerminan aqal aku.
Apabila bahasa
tersusun, sebenarnya ia pantulan daripada ilmu dalam aqal sendiri. Tak jarang,
aku perasan, ‘bila ada orang ingin jaga bahasa, dia akan digelar ‘sasterawan’
atau tak pun, ‘pemuisi’. Dikirakan, bahasa yang baik itu adalah ‘milik’ atau
pantulan manusia yang jiwanya halus dan berseni (seni itu sendiri kena
didefinisikan). Lalu, dikirakan, bahasa yang baik itu adalah bahasa baku yang
macam orang dunia mana cakapkan.
Kena
bezalah; bahasa perbualan dengan bahasa penulisan, pastilah ada beza (tapi aku
selalu mengimaginasikan keadaan di mana dialog-dialog dalam novel tu boleh
dibicarakan dalam perbualan).
“Indi... “
Renungan
terhenti. Aku pun angkat wajah, memandang teman di depan. Dia sibuk mengadah pandangan ke lapangan hijau di depan jendela.
“Apakah
salah kalau kita tidak cantik?”
Soalan jenis
apa ni? “Siapa ‘kita’ yang kau maksudkan?”
“Sesiapa.”
Aku tukar
stail duduk – bersila lalu kaki berlipat dalam pelukan kaki nan dua itu. Soalan
ini pertinent-kah? Pentingkah untuk
ditanya? Prof Zainiy Uthman ada sebut, kita harus tahu tanya soalan yang
penting.
“Kenapa kau
tanya soalan ni?”
“Implikasi.
Aku nak tahu, apa implikasi daripada jawapan kau.”
Aure masih
menghadap jendela yang terbuka, sedangkan aku duduk bersebelahan dengannya dan
memanggu kepala menghadap ke dinding, arah yang berlawanan. Soalan-jawapan, ah,
seringkali bisa memberi kesan yang lebih mendalam dan mendasar. Kita akan
menjawab berdasarkan cara pandang kita yang lebih besar tentang satu hal itu.
Ketatkah, longgarkah, sederhanakah ... dan
ini semua bergantung kepada si penyoal juga.
“Apa soalan
kau tadi, Re?” Aku tanya semula.
Aure yang
masih memandang ke luar, menjawab, “Apakah salah kalau kita tidak cantik?”
Angkat
punggung, dan aku pusingkan badan menghadap dataran hijau yang berada di luar
rumah. Bahu kami berlaga dengan hujung baju kapas yang kami pakai. Orang
melankolik seperti Aureolin itu, sebegitulah – kejap dia ceria benar bermadah
berpuisi namun bisa sahaja dalam seminit, jadi pilu dan ‘terjun ke dasar laut’.
Di depan
kami, pokok lalang bergoyang-goyangan di sebelah belantara nan jauh. Rerumput
hijau yang tegak pun sama berlambaian. Perlahan, aku mekarkan senyum dan
kubilang begini:
“Kau tanyakan,
‘apakah salah kalau kita tidak cantik?’ sedangkan mengapa kau sendiri
meletakkan perihal cantik itu sebagai keadaan tak pasti dengan menggunakan ‘kalau’?
Apakah memang kau telah rasakan kau tidak cantik atau kau khuatir adanya kemungkinan
untuk kau merasakan kau yang cantik itu sebenarnya tidak cantik, atau
bagaimana?”
Aure
membiarkan kalimah daripada aku terus berlantunan, bergerak dalam tiupan angin
petang.
“Lalu, aku
terfikir akan satu hal, Re. Apakah cantik hodoh itu ada salah betulnya? Dia
bersalah sebab hidungnya sumbing sedikit, atau dia betul sebab tudungnya lurus
tegak, ah, begitu?”
Aku tak
rasa, soalan Aure itu adalah soalan tentang etika dan protokol.
* * *
Mata manusia
tidak pernah melihat angin, tetapi bisa lihat kesan daripada adanya angin.
Daripada angin yang bertiupan yang saban hari selalu membahagiakan aku kala
memandang pepohon yang bergoyangan, aku belajar satu hal tentang diri seorang
wanita.
Jika wanita umpama
angin, dia tidak mungkin terjajahkan. Dia halus, tetapi tak pula bersentuhan.
Dia lembut, tetapi tak bisa dipegang. Menjadi umpama angin, kita bisa
menyampaikan getaran suara, membawa pesan atau alunan-alunan. Kala bersemburan
minyak wangi, keharumannya dibawa bersama; jua seperti itulah, kalau debu dan
asap-asap kelabu yang mahu ditumpangi.
Cuma,
awalnya, wanita harus mengetahui dan memahami, bagaimana menjadi wanita.
Menjadi manusia.
Hujungnya: "Re, nanti habis melankolik, pergi baca buku 'Rethinking Muslim Women and the Veil'[1], ya. Buku tu bukan pasal tudung, hijab sahaja!"
Aureolin tergelak dan dush, baling bantal kat aku.
And the little prince added, "But eyes are blind. You have to look with the heart." (Little Prince, Antoine De Saint-Exupery, muka surat 32)
060414.
Shah Alam.
Usai pulang syarahan al-Attas, menyusun kebahagiaan dengan menyambung tulisan yang tergendala.
Dan ya, kerana angin juga, harum bau mawar itu sampai ke deria-deria kita.
[1] Buku ini ditulis oleh Dr Katherine Bullock. Tesis PhD beliau adalah 'Politics of the Veil'.
Comments
Post a Comment