Garuda

Kredit gambar: Spread Your Wing And Soar oleh *DragonInk7


Pada yang mengerti.  (Ya, yang paling mengerti pastilah Allah)

Sebenarnya, sungguh aku tidak menyangka kala kulihat garuda nan terbang tegap di angkasa itu, akan menyuakan raut kepayahannya di depan mataku.

Garuda yang tangkas terbang itu, kala ia teruji angin kencang, meski ia kuat melawan di mata kita, aku terasa kedinginan hatinya yang minta diteman. Lalu Allah mencukupkan itu ke dalam atma sang garuda.

Garuda yang ligat mengepakkan sayapnya ke benua dunia, dalam ketabahannya yang tekal dipersembahkan, dalam diam aku tahu betapa kuatnya jiwanya itu pun sebenarnya kadang tewas untuk ditanggung sendiri.

Lalu, aku teringin sekali mempersilakan dataranku yang tidak seberapa untuknya. Biar ia berehat sebentar dalam keamanan hijaunya dataranku. Biar sesekali ia lihat langit nan biru itu kala bersandar di dahan-dahan pokok di bawah.

Berbeza pastinya melihat awan nan biru itu sebagai penonton dengan kala kaulihatnya sebagai garuda yang melintasinya.

Kali ini, entah kenapa aku terasa garuda itu benar lelah sukmanya. Tidak dapat kutebak mengapa. Namun garuda itu sungguh penuh diam, menyantuni hari-hari tanpa kita sedari lukanya.

Garuda, kau selalu buat aku mahu berusaha kuat. Kau selalu melarutkan aku dalam pengharapan pada Tuhan, betapa hari-hari beribut kencang, taufan itu akan reda.

Tinggal kita sahaja, untuk tidak percaya atau terus usaha.

Garuda, yang dikatakan sepenuh cinta itu adalah melepaskan. Melihatmu sekali lagi nanti setelah kau tekal semula, cukup buat menggembirakan hatiku.

Harapnya, doaku ini terafak untukmu Garuda.


Shah Alam.
Langit selalu kelabu.
Tetapi kelabu tidak semestinya mendung duka.

Comments

Popular Posts