Saya : Tiada batasan
| Endless by ~MiniGorbi. Tiada batasan, bisakah kakiku dan seluruh hatiku? |
Masjid Jamiul Ehsan, Sijangkang. Ramadan.
Di hujung saf karpet kuning berbelang biru, terteleku engkau dengan sepi suara. Manusia lain mengisi saf jemaah terus meratib tasbih dan takbir, tiada mengendahkan kau. Tarawih kali ini benar tiba setepatnya pada waktu Tuhan ingin kau merapati-Nya.
Apakah kerana hal 'itu' yang kautangisi?
Tidak, langsung tidak.
Jadi, mengapa eranganmu deras dan tangisanmu membanjir?
Kau diam, menjawab soalan dengan degup jantung dan aliran darah di dalam jasadmu. Nasiblah telekung yang kausarung itu putih polos, tiadalah kesan air matamu terlihat jelas.
Berbicaralah, tidakkah perit kau menanggung sendiri?
Kalaulah semua keperitan di dalam hati mampu diterjemah dalam bahasa, pastilah mampu kulakukan. Apakah kaumahu mengerti?
Imam terus mengangkat takbir menyambung tarawih setelah menghabisi doa di sela empat rakaat. Kau dengan payah mengangkat tubuh dan menyamakan bahu dengan makmum sebelah. Tiada langsung tangisanmu dikesani. Lalu, takbir kau angkat dan pertemuanmu dirafak bersambung terus dengan Tuhan yang Maha Mendengar.
Setitis dan kemudian setitis air matamu jatuh. Sungguh, aku terasa sakitnya engkau.
Renik mutiara bertitik lagi. Kau rukuk dengan kebasahan di wajahmu. Berterusan, sujud pertama dan kedua kaudekap mukamu lama di atas sejadah.
Kulekapkan telinga rapat dengan dirinya engkau. Bisik kata-katamu ku terdengar.
Sungguh, aku menerima hal 'itu' dengan sesungguhnya aku bisa. Tangisanku bukan menolaknya kerana aku sendiri sedia maklum. Namun, aku sudah tidak kuat menahan persoalan di dalam benak - memenuhi sebenarnya aku ini siapa. Aku, menahan keinginanku untuk sebuah kebebasan sebenar tanpa perlu ku meminta dan meniru.
Menjadi manusia yang sejatinya aku mahu menjadi, bukan sekadar menurut. Kesakitan itu kini kerana rupanya sudah lama ku membiarkannya, dan kini saatku meminta Tuhanku melepaskan apa yang aku patut lepaskan, kesakitan mungkin bertambah.
Aku memohon untuk Dia melepaskan apa yang patutku lepaskan. Maka, Dia akan memakbulkan. Lepaskanlah meski dengan adanya ia, aku senang dan selesa. Lepaskanlah meski selepas setelah tiadanya ia, aku akan kepayahan dan berkeringat.
Lepaskanlah.
Engkau berlalu melepasi saf dan menuruni tetangga seiringan dengan asakan manusia lain. Hidungmu merah cepat-cepat kausemubunyi kala adikmu menyapa. Ah, engkau tahu yang Tuhan akan selalu tahu apa pun.
Untuk menerpa tanpa batasan, pelepasanmu mungkin bersendiri. Menerpa tanpa batasan, engkau nanti cepat-cepatlah belajar. Lepaskanlah, kerana jika terlalu berat manakan lama kau menapak.
Lepaskanlah, Dia itu bukankah Maha Menjaga dan Pemelihara?
Said Nursi: "Worry is itself an illness, since worry is an accusation against Divine Wisdom, a criticism of Divine Mercy.”
1636. 130912. Sijangkang.
Comments
Post a Comment