Post mortem : Seorang manusia
Saya, ya, seorang manusia.
sister and brother by ~dayswillpass
"Adik, kasih dan sayang itu, Allah yang beri. " Masya Allah.
|
Pagi itu, memang
awal benar, saya sudah menahan ‘singa’ di dalam hati. Singa amarah yang kalau
tidak ditahan, liarlah sikapnya pada tuannya seorang ini. Hari yang kononnya
saya akan menjaga adik-adik di rumah disebabkan Mak dan Abah serta Anis (anak
ketiga dalam keluarga) akan menghantar Arif (anak kedua keluarga) ke UiTM
Penang, tiba-tiba bertukar rencana.
Memanglah benar
tiada ‘tiba-tiba’ dalam hidup, melainkan mahu menguji. Saya benar-benar sempat
menekan butang ‘pause’ di kepala menahan perasaan. Barang sebentar jika
terlambat, mungkin teruk amarahnya – dibangunkan pagi-pagi sebab rancangan
bertukar!
Tiba-tiba semua
adik-beradik saya mahu ke Penang, menghantar Arif. Termasuk Sarah dan Nawawi
yang kononnya akan diletak bawah jagaan saya hari itu.
Sudahlah menukar
rancangan ikut suka hati dan last minute, tidak semena Sarah naik angin pula. Mukanya
bertukar cemberut dengan badan belum berbaju tetapi kepala berserkup – nak tunjuk
marah.
“Bukan Sarah
memang mahu ikut, kan? Kenapa nak marah-marah pulak?” Suara saya. Mak hanya
mendiamkan diri dan Abah sudah ke kereta.
Sarah membuat
onar kecil – buku-buku teksnya dilempar ke tepi dan baju yang mahu dipakai main
disumbat. Sekejap dia ke ruang tamu entah mencari apa, sekejap kembali ke dapur
menyumbat dan mengeluarkan semula barang mahu dibawa.
Bingung kami
melihat.
Geram juga saya
melihatnya. Jika tidak kerananya dan Nawawi, tidak saya pulang sebelum siap
membuat percubaan eksperimen Unit 6.
Tiba-tiba, dengan
muka merah, Sarah menangis. Dikesat dengan lengan tidak beralasnya.
Melimpah kasihan
pula saya melihat. Pagi-pagi dia bangun, mahu berkemas sebab mahu menghantar
abang nan seorang ke Penang.
Perlahan, saya
menolongnya berkemas dan sedikit-dikit, memintanya reda dan tenang.
Air matanya masih
menitis.
Di ambang rumah,
dengan dua tiga kali terusap pipinya yang basah, Mak memandangku.
“Sarah ni serba
salah nak pergi (Penang). Sedih kakaknya kena tinggal seorang di rumah, padahal
balik sebab nak jaga dia. Serba salah dia nak hantar Arif.”
Dush. ‘Singa’
dalam hati terus tumbang!
***
Malam ini, saya
terkenang kisah dua hari lepas.
Nurmaisarah –
atau dipanggil Sarah atau Yaya – itu adik bongsu saya. Acapkali letih kami
melayaninya namun hatinya jauh sungguh murni.
Satu waktu Abah lewat
pulang selepas menghantar barang dari Pulau Pinang, Sarah melukiskan atak
kertas lukisan yang besar itu, lukisan kami sekeluarga.
Dan saat Abah
melihatnya, Abah menitiskan air mata.
Tulis Sarah di
situ, “Kesian Abah kerja penat-penat. Sarah sayang Abah.”
Satu waktu dulu,
kuat juga Sarah anti Abang-abangnya, sebab kerap diusik dan dibuli. Mungkin
hatinya yang cepat sensitif. Sehinggakan dia tidak mahu beradik-beradikkan
mereka berdua (namun, manusia dua orang itu menyambut selamba sahaja gertakan
budak sepuluh tahun itu).
Sarah pun terus
menjeling sahaja seperti selalu, dan apa-apa dia akan menjerit memanggil Mak
untuk menyelesaikan.
Saya, satu malam,
berbaring dengannya dan bercerita.
“Sarah taknak
Abang Arif dengan Wiwi tu jadi Abang Sarah. Dia orang jahat.”
“Tapi kan dia
orang bergurau je mula-mula?”
Sarah menggeleng,
dalam gelap. “Buat apa ada Abang macam dia orang?”
“Tapi Sarah pun
salah juga. Sikit-sikit nak nangis. Mak asyik risau je nak jaga Sarah. Sarah
dah besar, bukan? Kalau dia orang kacau Sarah, Sarah jagalah diri Sarah. Lagipun,
Kakak pun marah dia orang. Kalau Sarah nangis, makinlah dia orang suka kacau!”
Sarah diam.
Saya semasa itu,
hanya mahu Sarah menjadi dewasa sedikit. Mak saya sendiri pun, bukan semakin
muda untuk menjaga Sarah dan saya juga bukan selalu di rumah untuk menjaganya. Memang
Arif dan Wiwi yang salah sebab suka mengusik berlebihan, tetapi Sarah pula,
pantang dijentik, melentik macam Hulk Hogan!
Diam Sarah lama.
Dia masih tidak bersetuju.
“Sarah, kita adik
beradik ada lima orang, bukan?”
Tangannya saya
angkat. Menunjukkan lima jari atas sebelah tangannya.
“Kalau Sarah tak
suka Arif, cuba Sarah buang satu jari Sarah. Senang tak nak makan bila tak
cukup jari?”
Dia diam
sebentar.
“Kalau tak suka
Wiwi, buang satu jari lagi. Macam mana, boleh makan tak dengan tiga jari?”
Dia semakin diam –
berfikir.
“Kita adik
beradik, macam tangan kita ada lima jari. Adik beradik ni penting. Kita memang
benci dia orang sebab ada perangai dia orang yang tak berapa best. Tapi, nanti
bila dah besar, bila kita susah, adik beradik ni lah yang tolong kita.”
Dia menekap
bibirnya.
“Kita tak mampu gembira
dengan jari kita yang kita sendiri buang.”
Saya meneruskan
kata. “Lalu, nak buang dia orang ke tak?”
Hanya setitis air
matanya yang menjawab.
***
Di dinding bilik,
penuh ditampal kertas lukisan putih gambar orang lidi kami sekeluarga.
Di dinding bilik
juga, ditampal ‘I Love Allah, I Love Nabi Muhammad, I Love My Family’.
Saya melihat dia
bukan semata selaku seorang kakak.
Tetapi seorang
manusia.
Hadis :
«قبل رسول الله صلى الله عليه وسلم الحسن بن علي وعنده الأقرع بن حابس التميمي جالسا، فقال الأقرع: إن لي عشرة من الولد ما قبلت منهم أحدا، فنظر إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم ثم قال: (من لا يرحم لا يرحم)»
Seorang manusia.
Nabi Muhammad sallalhu alaihi wassalam mencium al-Hasan bin Ali, ketika al-'Aqra bin Habis at-Tamimi duduk di sebelah Baginda. Al-'Aqra berkata, "Saya ada sepuluh orang anak dan saya tidak pernah mencium salah seorang pun dari mereka." Nabi memandangnya dan berkata, "Siapa yang tidak menyayangi yang lain, tidak akan disayangi." [Sahih Bukhari, Book #73, Hadith #26]
Jiwanya manusia - memerlukan kepada sesuatu.
Nikmati masa bersama, bila nanti ditarik saat untuk pergi,
Ada tinggalan yang masih menafasi kehadirannya.
Musafir.
-Masih di Akasia yang senyap.
Moga Allah mengikhlaskan.
Allahu a'alam.
Comments
Post a Comment